Empat tahun cipta ‘raksasa besi’

Empat tahun cipta ‘raksasa besi’







“ORANG Inggeris pun kalau mencipta sesuatu bukannya terus berjaya,” kata Abd Rasid Ismail, 47.

 Semangat itulah yang diambil untuk mencipta ‘raksasa besi’, walaupun sebelum ini mendapat cemuhan dan respons negatif daripada orang ramai termasuk kenalannya sendiri. Terdahulu, berita yang memaparkan Abd Rasid yang mesra disapa dengan gelaran Acid Welding tular di media sosial setelah dia berjaya mencipta sebuah motosikal daripada besi buruk dengan menggunakan enjin kereta Nissan Skyline RB20.

Abd Rasid berkata, dia tidak mengaku kalah dengan setiap cemuhan walaupun mengambil masa empat tahun untuk ‘mengejutkan’ raksasa besi miliknya itu.
Menurutnya, dia sememangnya minat dengan motosikal dan sudah mencuba banyak kali untuk membuat kelainan dalam ciptaannya serta turut mempunyai beberapa lagi motosikal yang diubahsuai. “Hampir setiap hari saya cuba ubahsuai motosikal ini dan akhirnya ia berjaya membuka mata mereka yang mencemuh saya selama ini dan saya buktikan ia bukanlah angan-angan sahaja. 

“Malah ada yang sebelum ini mencemuh saya mula mendekati dan meminta maaf setelah saya berjaya mentransformasikan rangka buruk menjadi sebuah jentera yang begitu gah, terutamanya pada bunyinya. “Ada juga yang terkejut dengan gabungan enjin kereta dan besi buruk ini yang mampu menjadi motosikal dan lebih mengejutkan ia mampu bergerak seperti motosikal yang lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sri Wangi, di sini.

Cipta untuk pertandingan

Motosikal yang dicipta Abd Rasid ini hanyalah untuk suka-suka sahaja dan bukanlah untuk digunakan di atas jalan raya kerana ia agak berbahaya kerana bimbang kehadirannya akan mengganggu pengguna jalan raya yang lain. Katanya, tujuan asalnya adalah untuk menyertai pertandingan pameran automotif Art of Speed 2017 di MAEPS, Serdang Selangor pada 29 dan 30 Julai lalu dan bertanding dalam kategori ‘Best Bobber’ dan terbuka.

“Jika ada yang berminat menggunakan khidmat saya lazimnya mereka akan membawa enjin dan saya menggunakan kepakaran dan kemahiran menjadikannya sebuah motosikal ‘Bobber’ dengan purata kosnya mencecah RM6,000.

“Motosikal diubahsuai hanya untuk suka-suka seperti menyertai pameran, pertandingan tertentu mahupun untuk mencantikkan motosikal sedia ada, dan bukannya ditunggang di atas jalan raya. Saya akan cuba sedaya saya untuk membuatnya (motosikal raksasa), walaupun ada pelanggan tertentu membawa enjin yang sudah tidak hidup lagi seperti motosikal saya ini, dan langkah pertama ialah membaiki enjin dahulu,” katanya.

Menurutnya, motosikal jenis ini kebiasaannya dicipta untuk ‘kenikmatan’ pemiliknya apabila mendengar alunan ekzosnya yang kuat seolah-olah bait-bait muzik yang memberikan kepuasan tertentu kepada sesiapa sahaja yang minat kepada motosikal berkuasa tinggi.
“Pada individu yang kurang minat motosikal atau enjin, hobi seperti ini biasa-biasa saja tetapi pada yang tahu menilai atau minat kepada jentera besi ini, ia adalah sesuatu yang mendatangkan kepuasan, termasuklah menunggangnya dan mendengar bunyinya ‘mengaum’,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

'Doktor' gila seks perdaya tiga wanita mengandung

Cars 3 (2017) Full Movie

Cara remove virus shortcut dari pendrive